Berita Utama

Kes denggi di Selangor meningkat

Tiada kematian terbaharu, kes masih kekal pada 3

BANGI, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Selangor melaporkan sejumlah 11,793 kes demam denggi sehingga 28 Mei lalu, iaitu peningkatan sebanyak 87.2 peratus berbanding minggu sama tahun 2021 iaitu 6,301 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pada Minggu Epid (ME) 21, sejumlah 866 kes denggi telah dilaporkan di negeri ini iaitu penurunan sebanyak 5.9 peratus berbanding 920 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, lima daerah utama yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling (4,436 kes), Klang (2,729 kes), Hulu Langat (2,435 kes), Gombak (1,188 kes) dan Sepang (334 kes).

“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 331 dengan perincian lokaliti hotspot 33, wabak tak terkawal 26 dan wabak terkawal dan wabak baru 272.

“Bilangan lokaliti hotspot berdasarkan daerah adalah Petaling 21, Hulu Langat 4, Klang 4, Kuala Langat 3 dan Sepang 1,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Sha’ari berkata, tiada kematian denggi didaftarkan pada minggu ini menjadikan jumlahnya kekal pada tiga kes.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyarankan komuniti di kawasan kediaman dapat melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes kendiri secara berkala di dalam dan persekitaran tempat tinggal.

Dengan meluangkan masa hanya 10 minit, beliau menasihatkan supaya memastikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran masing-masing dimusnahkan.

“Meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di tempat takungan air yang tidak dapat dimusnahkan.

“Bagi takungan air kekal yang disimpan untuk kegunaan, hendaklah sentiasa ditutup rapat atau diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik serta diperiksa seminggu sekali,” katanya.

Pada masa sama, masyarakat disaran memakai alat pelindung diri dan pakaian yang menutupi lengan dan kaki untuk mengelakkan gigitan nyamuk.

“Sekiranya ada anggota keluarga atau diri sendiri yang mengalami tanda-tanda dan mengalami gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan dengan kadar segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button