Berita Utama

Najib gesa 5 pemimpin tertinggi UMNO bantu Ismail tentu tarikh PRU15

‘BN perlu ambil kesempatan ketidakstabilan pembangkang’

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Datuk Seri Najib Razak berkata, lima pemimpin tertinggi UMNO perlu membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan tepat mengenai bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

“Oleh kerana pertaruhannya terlalu tinggi, keputusan yang betul mesti dibuat, ia mengenai masa depan kita,” katanya semasa berucap pada konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia KL, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu mengakui PRU14 sepatutnya diadakan selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara pada Ogos 2017.

“Jika ia (pilihan raya) selesai, mungkin kita boleh menang besar. Tetapi kerana tekanan tertentu, kita menangguhkan panggilan pilihan raya dan kita (Barisan) tewas,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, BN perlu mengambil kesempatan daripada kekacauan dalam pembangkang untuk mengadakan pilihan raya.

“Sementara mereka berada dalam keadaan kucar-kacir, Barisan semakin kuat. Kami mungkin mempunyai masalah, tetapi kami lebih kuat sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat, bertentangan dengan spekulasi bahawa ianya mungkin diadakan sebelum akhir tahun.

Beliau dalam temu bual dengan Nikkei Asia pada Selasa (31 Mei) berkata, peningkatan kos makanan dan perbelanjaan sara hidup lain adalah antara puncanya.

Penggal Parlimen semasa berakhir pada Jun tahun depan.

Kerajaan dan pembangkang telah menandatangani perjanjian kerjasama dwipartisan, yang antara lain menggesa agar Parlimen tidak dibubarkan sebelum 31 Julai bagi membolehkan tempoh kestabilan politik.

Bagaimanapun, UMNO, parti komponen terbesar dalam BN mendesak supaya pilihan raya umum diadakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button