Scam: Waspada panggilan, SMS individu menyamar
Jangan panik! Hanya perlu putus panggilan, abai SMS diterima

BANGI, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) individu atau nombor menyamar sebagai pegawai dari badan agensi kerajaan.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tidak panik apabila menerima panggilan atau SMS dari nombor yang tidak dikenali.
Katanya, mereka hanya perlu memutuskan panggilan berkenaan dan mengabaikan SMS yang diterima.
“Jangan sesekali mengikut arahan pemanggil atau penghantar SMS dan jangan dedahkan maklumat peribadi anda kepada pemanggil atau penghantar SMS.
“Cabar pemanggil berkenaan untuk mengesahkan maklumat, tulis butiran pemanggil atau penghantar SMS (merangkumi nombor talian dan nama) bagi tujuan rekod sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MCMC turut menasihatkan orang ramai untuk melaporkan panggilan dan SMS itu kepada pihak polis bagi tujuan tindakan.
“Kongsikan juga pengalaman anda dengan keluarga dan rakan, sebagai usaha memberikan kewaspadaan agar mereka tidak menjadi mangsa panggilan dan SMS yang tidak dikenali.
“Sekiranya anda telah menjadi mangsa scam, dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada pihak polis atau merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101159 atau 03-26101599,” katanya.