Berita Utama

Tok Mat mahu BN proaktif, giat bongkar betapa gagalnya PH dan PN

'Ke mana mahu bawa Malaysia, apa lebihnya kita dengan yang lain'

 

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Barisan Nasional (BN) harus diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran-tawaran dan penampilan baharu, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Siapa kita, ke mana kita mahu bawa Malaysia, apa lebihnya kita dengan yang lain. Semua ini mesti difikirkan dan dihidupkan kembali dengan nafas baharu.

“Sebabnya mudah. Zaman sudah berubah. Generasi sudah silih berganti. Masakan BN terus terperangkap dalam ‘nostalgia silamnya’?

“Hanya kerana kita pernah berjaya dahulu, dengan cara sebelum ini, tidak bermakna, kita akan terus berjaya dengan cara yang sama,” katanya pada Konvensyen Barisan Nasional, hari ini.

Justeru katanya, BN bersedia untuk melancarkan serangan bagi mengubah persepsi orang ramai terhadapnya pada pilihan raya umum akan datang. 

“Kami perlu mula menyerang dengan lebih banyak dan menjadi ‘offensive’, tidak hanya menunggu dan berada di tahap ‘defensive’.

“Jangan serahkan kepada Bossku sahaja untuk menyerang,” katanya, merujuk kepada Pengerusi penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pengerusi BN itu mengakui kadang-kadang berasa sangat kesal, atas sikap berdiam diri, yang mana jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan lawan dengan radikal dan berkesan.

“Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakanlah. 

“Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini, mesti segera berakhir. Kita mesti aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button