Berita Utama

PEMBELA harap iGuru kemuka rayuan, tegaskan vernakular punca perpecahan kaum

Sentiasa daulatkan bahasa Melayu yang satukan warganegara Malaysia

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Walaupun bahasa Melayu masih diutamakan, tetapi banyak fakta menunjukkan bahasa kebangsaan tidak menjadi ‘concern’.

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya mengulas dakwaan parti berasaskan kaum MCA bahawa kewujudan sekolah vernakular di dalam negara tidak membawa maksud institusi tersebut membelakangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berharap semua pihak dapat menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah sah di bawah Perlembagaan.

Keputusan itu menolak saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Saman difailkan terhadap Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia bagi mencabar perlembagaan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996.

Berikutan itu, Sin Woon menggesa supaya mana-mana pihak tidak mencetuskan sebarang isu membabitkan keabsahan sekolah vernakular atau mengaitkannya dengan isu perkauman.

“Pastinya, sebagai warga Malaysia, kita sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan warganegara Malaysia, bahasa yang mencerminkan jati diri rakyat Malaysia dan kami sentiasa berbangga dengan bahasa Melayu.

“Dalam mempertahankan sekolah vernakular, bukanlah bererti kita membelakangkan bahasa Melayu. Jauh sekali,” katanya.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, meskipun terkilan, pihaknya akur dengan keputusan hakim.

Justeru, beliau berharap pihak iGuru mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebagaimana yang dilakukan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu berhubung isu sama.

“Kita masih berpandangan sekolah vernakular ini tidak sesuai di negara dan antara punca perpecahan kaum,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada 29 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Difahamkan, iGuru akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk peguam sebelum mempertimbangkan untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Ahad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button