Berita Utama

DUN Kedah lulus Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti

Diwartakan 1 April selepas perkenan Sultan Kedah

BANGI, 22 Syaaban 1444H, Rabu – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman (Pindaan) 2023 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat yang mengumumkan keputusan tersebut selepas proses pengundian RUU dijalankan berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir secara sebulat suara menyokong pindaan rang undang-undang tersebut.

Usul berkenaan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Perikatan Nasional-Jeneri) dan disokong Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Perikatan Nasional- Tokai).

Terdahulu, lima ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan didahului Ketua Pembangkang, Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra), Mohd. Azam Abd. Samat (PN-Sungai Limau), Datuk Norsabrina Mohd. Noor (BN-Bandar Baharu) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit).

Zamri dalam perbahasannya menyifatkan RUU tersebut merupakan permulaan sangat bermakna dan bersejarah buat negeri ini.

“Kesannya akan memberi pengertian mendalam kepada bentuk moral dan integirti kerana ADUN tidak boleh lagi melompat, menjual maruah atau khianat sesuka hati.

“Pindaan ini juga secara tidak langsung mampu menangani gejala yang menjurus kepada keyakinan pengundi,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz pula yakin keputusan meluluskan RUU ini akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai khususnya anak muda yang baru mengenali politik.

RUU ini bakal diwartakan 1 April depan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sebelum ini, RUU Anti Lompat Parti diluluskan secara sebulat suara dan disokong 209 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, 28 Julai lalu.

Ia kemudiannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos serta berkuat kuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button