Berita UtamaDunia

4 maut, 14 cedera gempa bumi di China

Operasi kereta api dihentikan segera ekoran dua gempa

SICHUAN, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 14 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan Daerah Lushan di Bandar Ya’an di barat daya Wilayah Sichuan China, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.

Jabatan Kesihatan Ya’an berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Pusat gempa bumi, dengan kedalaman 17 kilometer, berada pada 30.37 darjah lintang utara dan 102.94 darjah bujur timur, kata pusat itu.

Pusat gempa adalah 12 kilometer dari Daerah Baoxing, 38 kilometer dari Daerah Tianquan, 41 kilometer dari Bandar Ya’an dan 113 kilometer dari Bandar Chengdu.

Gempa bumi berukuran 4.5 magnitud turut dilaporkan di Baoxing pada 5.03 pagi, dengan kedalaman 18 kilometer.

Gegaran kuat turut dirasai sehingga ke ibu kota Sichuan iaitu Chengdu dan Perbandaran Chongqing, kata penduduk.

Analisis menunjukkan bahawa penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari pusat gempa adalah kira-kira 70,000, kira-kira 1.17 juta dalam 50 kilometer, dan kira-kira 7.89 juta dalam 100 kilometer.

Lebih 1,400 anggota bomba wilayah telah dikerah ke lokasi.  Sementara itu, pasukan penyelamat dari wilayah bersebelahan Guizhou dan Yunnan serta Perbandaran Chongqing disediakan sebagai bala bantuan.

Jabatan Bomba Sichuan berkata, beberapa rumah di Daerah Lushan rosak sebahagiannya dan ia terus berkomunikasi dengan daerah dan bandar berkaitan yang telah terjejas.

Kerajaan perbandaran Ya’an telah mengaktifkan respons kecemasan Tahap-II, yang kedua tertinggi daripada sistem respons kecemasan empat peringkat.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China juga telah menghantar pasukan pakar ke Lushan untuk operasi menyelamat dan bantuan.

Disebabkan oleh dua gempa itu, pihak berkuasa kereta api China telah menghentikan segera bahagian laluan kereta api yang berkaitan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button