Berita UtamaDunia

Arab Saudi sasar bina bangunan tertinggi di bandar mega futuristik NEOM

Projek bersaiz 33 kali ganda New York tempatkan inovasi seperti teksi terbang

RIYADH, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Arab Saudi menyasarkan untuk membina bangunan tertinggi di dunia di bandar mega futuristik NEOM, mengalahkan bangunan lain di negara ini termasuk di Dubai.

Menurut Bloomberg, sumber yang dahulunya bekerja dengan projek NEOM memaklumkan, bahawa bangunan pencakar langit akan terbentang dari pantai Laut Merah jauh ke padang pasir, yang mengandungi pelbagai ruang kediaman, pejabat dan kedai runcit.

Bangunan-bangunan itu dilaporkan akan memanjang secara mendatar di sepanjang tanah sejauh berpuluh-puluh batu dan menjadi sebahagian daripada ‘The Line’ – sebuah bandar sepanjang 170 kilometer (100 batu) yang direka bentuk dalam garis lurus yang sempurna sesuai untuk pejalan kaki – yang merupakan sebahagian daripada bandar mega yang lebih besar, NEOM di wilayah Tabuk barat laut Arab Saudi.

Projek NEOM – dibiayai terutamanya melalui AS$500 bilion yang diperuntukkan oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi – ditetapkan untuk menjadi bandar mega yang maju daripada segi teknologi dan mesra alam yang akan menarik pelaburan dan syarikat dari seluruh dunia.

Dengan saiz 33 kali ganda New York, ia bertujuan untuk menjadi projek futuristik yang menggunakan inovasi seperti teksi terbang, bulan tiruan dan kelas diajar oleh guru holografik. 

Pada masa ini, bandar itu masih dalam pembangunan dan hanya pegawai, pekerja dan perancang tinggal di sana, tetapi pihak berkuasa menyasarkan untuk mengalu-alukan penduduk pada tahun 2024 dan menjadikan bandar itu rumah kepada berjuta-juta ‘Neomians’ menjelang 2030.

Pendedahan bahawa ia merancang membina bangunan pencakar langit tertinggi di dunia dikatakan menjadikannya usaha yang lebih hebat, dan akan mengatasi struktur buatan manusia tertinggi di dunia – Burj Khalifa setinggi 828 meter di Dubai.  

Kerajaan Arab Saudi kini memiliki bangunan keempat tertinggi di dunia, hotel menara jam Abraj Al-Bait setinggi 601 meter di kota suci Makkah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button