Dunia

AS sedia kuat kuasa larangan import dari Xinjiang

Lindung pasaran AS dari produk dicemari pelanggaran hak asasi manusia

WASHINGTON, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk melaksanakan larangan import dari wilayah Xinjiang, China setelah undang-undang itu dikuatkuasakan pada Jun.

Disember lalu, Presiden AS, Joe Biden menandatangani Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur (UFLPA) dalam usaha untuk melindungi pasaran AS daripada produk yang berpotensi dicemari oleh pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.

AS sebelum ini menuduh China melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik minoriti muslim Uyghur.

Undang-undang itu termasuk semua barangan dari Xinjiang – tempat pihak berkuasa China mewujudkan kem tahanan untuk Uyghur dan kumpulan Islam lain bagi mengerah mereka sebagai buruh paksa.

China bagaimanapun menafikan penyalahgunaan di Xinjiang – pengeluar kapas utama dan panel solar – dan mengatakan undang-undang AS itu memfitnah situasi hak asasi manusia negara berkenaan.

Beijing pada mulanya menafikan wujud kem tahanan, tetapi mengakui telah menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ kononnya bagi membendung keganasan dan radikalisme agama di Xinjiang.

Beberapa Ahli Parlimen AS telah menyokong permintaan kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) untuk menambah belanjawan bagi melaksanakan peruntukan itu dengan berkesan yang berkuat kuasa pada 21 Jun.

“Harapannya ialah kami akan bersedia untuk melaksanakan akta Uyghur pada 21 Jun dan kita mempunyai sumber.

“Jadi, persoalannya adakah kita bersedia untuk melaksanakannya? Ya, kita sedia,” kata Pemangku Pengarah Eksekutif CBP, Elva Muneton. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button