Berita Utama

Bahasa kebangsaan di SJKC ibarat melukut di tepi gantang

Bapak ultra kiasu langsung tak kisah murid tidak tahu bahasa Melayu

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mendakwa, kedudukan subjek bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ibarat melukut di tepi gantang, malah langsung tidak didaulatkan.

Dakwanya, ramai pelajar Cina gagal subjek bahasa negara ini, namun tidak ada satu langkah yang dibuat untuk memandaikan mereka dalam subjek berkenaan.

Justeru, pemerhati politik itu pelik tatkala ultra kiasu merayu kepada tiga badan bukan kerajaan (NGO) untuk menarik semula rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang sebelum ini memutuskan bahawa sekolah vernakular SJKC dan SJKT di seluruh Malaysia adalah sah di sisi Perlembagaan.

Bahkan, ultra kiasu itu turut merayu supaya Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mengenai sekolah rendah Cina dan Tamil ini.

“Kenapa tidak buat rayuan kepada seluruh SJKC, Dong Zong, Jiao Zong, Hua Zong dan lain-lain NGO Cina, untuk memperbaiki kedudukan bahasa Melayu yang berada pada tahap yang amat menyedihkan di sana?

“Bapak ultra kiasu langsung tidak kisah murid-murid SJKC tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi mereka mesti tahu bahasa Cina.

“Inilah bahayanya ultra kiasu ini yang membawa agenda membina negara dalam negara. Apakah kita mahu terus berdiam diri dan membiarkan perkara ini terus berlaku?” soalnya.

Dalam pada itu, Prof Ridhuan Tee dalam satu kenyataan di Facebook menegaskan, negara tidak akan gagal sekiranya pemimpinnya jujur, amanah, berintegriti, tidak rasuah, menguruskan negara atas rasa takut kepada Allah.

“Kita tidak akan menjadi negara gagal hanya kerana ada beberapa profesor ‘kangkung’.

“Tetapi kita akan menjadi negara gagal jika ada pembangkang yang tidak rasional, khianat kepada amanah rakyat, menjadi pengkhianat negara.

“Atau menjadi musuh dalam selimut, membocorkan rahsia negara, jika orang lain rasuah bukan main lantang mengkritik, jika dia sendiri rasuah didiamkan dan sebagainya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button