Berita Utama

Belum masa Malaysia kembali ke era GST: Penganalisis

Cukai tambahan akan tekan rakyat dengan harga barang sedia naik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Belum masanya untuk Malaysia kembali melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tatkala negara berdepan masalah rantaian bekalan serta ketidaktentuan terhadap harga barang.

Ini kerana, pelaksanaan GST hanya akan menambahkan tekanan kepada rakyat yang sedang mengalami peningkatan mendadak harga barang dan kos sara hidup, meskipun sistem percukaian itu adalah cara paling mudah untuk kerajaan menambahkan hasil.

Atas sebab itu, penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat bahawa ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

“Walaupun ianya cara paling mudah bagi kerajaan untuk menambahkan hasil, ianya akan menyebabkan rakyat tertekan dengan terpaksa membayar cukai tambahan ke atas barang dan perkhidmatan yang mana harga barang sekarang pun sudah sedia tinggi.

“Selain itu, isu ketirisan dan rasuah menyebabkan kerajaan kehilangan RM50 ke RM60 bilion setiap tahun,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Ahmed Razman berkata, sebelum mempertimbang untuk melaksanakan semula GST, kerajaan perlu menyelesaikan dahulu isu kutipan cukai berkenaan yang lambat dipulangkan kepada peniaga.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah bebas kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula GST.

“Kerajaan berminat mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatannya dan menanggung beban subsidi awam,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan mengembalikan sistem percukaian itu ditolak Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kerana keadaan inflasi yang semakin tinggi.

Malaysia beralih kepada GST ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, dengan kadar enam peratus yang dikritik pembangkang serta kumpulan pengguna.

Setelah PH yang diteraju Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran, pelaksanaan GST dibatalkan sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button