Berita Utama

Desakan PRU15, langkah oportunis pemimpin tak fikirkan rakyat

Mereka tak nampak keperitan dialami sebaliknya terus rakus

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Langkah pemimpin UMNO mendesak pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan sikap oportunis mereka mahu menyelamat diri dan kuasa tanpa memikirkan situasi semasa rakyat.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, sepatutnya mereka memikirkan perihal rakyat yang kini berdepan pelbagai masalah seperti kenaikan harga barang dan kekurangan peluang pekerjaan.

Katanya, sikap mementingkan diri sendiri ini begitu mengecewakan dan tidak sewajarnya berlaku.

“Ini sepatutnya yang diselesaikan dahulu dengan memberi tumpuan kepada rakyat dan pembangunan semula ekonomi dan bukannya terus menerus untuk merebut kepimpinan.

“Malangnya pemimpin kita tidak nampak keperitan yang dirasai rakyat sebaliknya terus rakus untuk mengekalkan jawatan dan pangkat yang mereka ada.

“Langkah ini dilihat sebagai oportunis, tidak memikirkan kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata, lima pemimpin tertinggi UMNO perlu membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan tepat mengenai bila PRU15 perlu diadakan.

“Oleh kerana pertaruhannya terlalu tinggi, keputusan yang betul mesti dibuat, ia mengenai masa depan kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azib berkata, tekanan pemimpin UMNO yang mahukan PRU diadakan segera berpunca daripada rasa yakin mereka mampu menang besar sekali gus memerintah semula negara ini.

“UMNO hanya mengejar kemenangan setelah melihat pencapaian besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabah dan Johor, ketika rakyat belum bersedia berdepan dengan PRU15, langkah ini hanya pentingkan diri sendiri semata-mata.

“Kalau kita sekarang ini nampak sebagai parti ada peluang nak menang besar, siapa yang nak kita dahulukan? Kepentingan parti ke atau kepentingan rakyat? soalnya.

Beliau pada masa sama berpandangan, negara kini ketandusan pemimpin sejati yang boleh membawa agenda negara selain mampu membela masa depan rakyat.

Katanya, kebanyakan pemimpin masing-masing mahu menyelamatkan periuk nasi sendiri tanpa perjuangan yang ikhlas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button