Harga makanan mungkin naik sehingga 2024
Negara berpendapatan rendah, sederhana dijangka paling teruk terjejas

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – S&P Global Ratings menjangkakan kenaikan harga makanan dan bekalan yang semakin berkurangan akibat perang Russia-Ukraine mungkin berlarutan sehingga dua tahun lagi.
Agensi penarafan itu berkata, kekurangan baja, kawalan eksport, gangguan perdagangan global serta kos bahan api dan pengangkutan yang meningkat semuanya akan memberi tekanan yang lebih tinggi ke atas kos bahan ruji.
Analisis pihaknya menunjukkan negara berpendapatan rendah dan rendah hingga sederhana di Asia Tengah mungkin paling teruk terjejas oleh kesan pusingan pertama.
Turut termasuk di Asia Barat, Afrika dan Caucasus, kata Penganalisis Kredit S&P Global Ratings, Samuel Tilleray dalam laporan RatingsDirect ‘The Global Food Shock Will Last Years, Not Months.
Laporan itu meneliti negara pengimport terkumpul terbesar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi item bijirin dan minyak bijian yang paling ketara terjejas oleh konflik.
Negara Caucasus seperti Tajikistan, Uzbekistan dan Armenia khususnya terdedah melalui pergantungan mereka yang hampir sepenuhnya kepada Russia untuk komoditi makanan utama itu, sekiranya sekatan atau penyekatan kendiri merumitkan perdagangan.
Begitu juga dengan negara Arab seperti Maghribi, Lubnan, Mesir dan Jordan, yang masing-masing bergantung kepada Ukraine untuk bekalan makanan, oleh itu terdedah kepada gangguan akibat perang terhadap pelabuhan dan aktiviti pemprosesan.
Memetik Berita Harian, Tilleray berkata, pihaknya percaya kejutan terhadap bekalan makanan akan memberi implikasi negatif kepada negara pasaran baharu muncul, menjejaskan pertumbuhan KDNK, prestasi fiskal dan kestabilan sosial.
Potensi kesan terhadap penarafan kredit kerajaan akan bergantung kepada tahap dan terjejasnya kejutan makanan, keupayaan kerajaan untuk meminimumkan kos sosial dan ekonomi dan usaha antarabangsa untuk membantu negara yang terjejas.
“Walaupun kebanyakan kerajaan yang paling terdedah kepada risiko ini sudah mempunyai penarafan kredit yang sangat rendah, kesan negatif ekonomi atau politik akibat kejutan makanan boleh menyumbang kepada penurunan penarafan,” katanya.