Harga siling ayam, telur dilanjutkan hingga 30 Jun
Kementerian teliti cadangan beri subsidi kepada kumpulan sasar, berpendapatan rendah

PUTRAJAYA, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Harga siling ayam dan telur yang sepatutnya berakhir pada 5 Jun, dilanjutkan sehingga akhir bulan ini, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pelanjutan diputuskan oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada 1 Jun.
“Pelanjutan itu bertujuan memastikan pengguna bersedia dengan perubahan harga apabila skim itu berakhir pada 30 Jun,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, harga siling ayam standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram selama empat bulan dari 5 Februari hingga 5 Jun.
Harga ayam super keseluruhan ialah RM9.90 sekilogram, manakala harga siling bagi telur gred A ditetapkan pada 43 sen sebiji, telur gred B pada 41 sen sebiji manakala gred C ialah 39 sen sebiji.
Nanta berkata, harga maksimum ayam dan telur bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan berbeza mengikut zon serta daerah.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian subsidi kepada kumpulan sasar dan mereka yang berpendapatan rendah.
“Kajian itu akan merangkumi kadar subsidi dan mekanisme yang betul untuk menyalurkan bantuan bagi menangani kenaikan harga apabila skim harga siling maksimum tamat,” katanya.
Pegawai penguat kuasa kementerian akan meningkatkan pengawasan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan stabil serta tiada pencatutan.
“Komuniti perdagangan mesti beretika dalam menjalankan perniagaan mereka. Mereka tidak boleh mengambil untung semata-mata untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah,” katanya.