Berita Utama

Pemimpin bertanggungjawab urus pemerintahan ikut petunjuk Islam

Rakyat pula bergerak bersama pacu pertumbuhan negara, bantu satu sama lain

BANGI, 12 Rejab 1444H, Jumaat – Pembinaan masyarakat dan negara yang bahagia perlu dimulakan dengan perjuangan menegakkan iman, akidah dan tauhid serta membangun peradaban dan moral yang tinggi.

Perkara itu antara yang ditekankan di dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Hidup Bahagia, Negara Sejahtera’ dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini.

Menurut khutbah, pemimpin bertanggungjawab mentadbir urusan pemerintahan dengan petunjuk Islam serta menunaikan amanah sepatutnya, bahkan memimpin masyarakat majmuk di negara ini dengan adil dan saksama menurut acuan dan sempadan yang digariskan dalam Islam.

“Manakala rakyat pula perlu melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar serta bergerak bersama-sama memacu pertumbuhan negara dari sudut ekonominya, pendidikannya, kesihatan awam dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, khutbah menjelaskan kebahagiaan itu ialah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya dan ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya.

Bagi muslim pula katanya, puncak kebahagian itu ialah ketika dia mencapai puncak ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT sebagaimana diungkapkan oleh Imam al-Ghazali.

“Sebahagian kita sering beranggapan bahawa bahagia itu dengan banyaknya harta kemewahan, besarnya rumah atau tempat tinggal, banyaknya ladang atau kebun, tebalnya duit yang dipegang, atau lain-lain kelimpahan sesuatu yang dimiliki berupa harta, kemudahan dan hal-hal yang disukai fitrah semula jadi manusia.

“Akan tetapi, hakikatnya semua itu menjadi sebab jiwa resah, tertekan dan hanya menambah beban dalam hidup seseorang manusia bukan sahaja ketika hidup di dunia bahkan juga ketika diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT kelak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button