Berita Utama

Ismail Sabri perlu berkeras, tak perlu tunduk desakan percepat PRU15

UMNO terdesak, hanya mahu bersorak selesai cepat kes mahkamah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Walaupun tekanan dan desakan semakin kuat supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan masa terdekat, keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Ismail Yaakob menjadi penentu.

Sekiranya Perdana Menteri teguh dengan pendirian enggan mengadakan pilihan raya secepat mungkin, maka hasrat tersirat Barisan Nasional-UMNO tidak akan tercapai.

Menegaskan pandangan itu,  penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain percaya UMNO sedang mengambil kesempatan dengan ketidakstabilan negara ketika ini. 

Mereka makin terdesak apabila Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan kes mahkamah.

“Mereka membuat tekanan kepada Ismail supaya adakan cepat PRU, supaya BN menang dan bila menang mereka akan bersorak dengan harapan dapat selesaikan kes mahkamah.

“Tapi kenyataannya – PM agak enggan mengadakan pilihan raya kadar segera. Dengan harga barang naik, keadaan ekonomi, inflasi, masalah musim tidak menentu, keadaan perang Ukraine yang menyebabkan import mahal, barang mahal.

“Dia (Ismail Sabri) nak cuba menyelesaikan krisis ekonomi. Jadi padanya pilihan raya lambat lagi. Setahun lebih lagi. Agak merugikan untuknya jika diadakan pilihan raya sekarang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini. 

Tambahan pula, katanya, Ismail Sabri tidak mendapat jaminan daripada UMNO mengenai kedudukannya selepas PRU15.

“Jaminan daripada UMNO itu sangat longgar. Tidak ada hitam putih dia akan menjadi PM selepas pilihan raya. 

“Kalau ada jaminan daripada pihak UMNO, saya rasa hari ini juga dia boleh isytiharkan pembubaran Parlimen. Itulah sebenarnya. Tiada jaminan. Hanya majlis tertinggi mencadangkan. Kalau setakat cadangan, tidak meyakinkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, Ismail Sabri tidak akan terikut dengan desakan UMNO kerana merasakan ada kekuatan disokong oleh Perikatan Nasional (PN) – Bersatu, PAS, Gerakan.

Prof Ahmad Atory berkata, kemungkinan UMNO terlupa terbentuknya Kerajaan Persekutuan ini daripada hasil kerjasama kuat Perikatan Nasional (PN).

“Mereka lupa. Mereka ingat mereka dominan. Berdirinya Ismail Sabri di jawatan sekarang itu kerana hasil kerjasama kuat PN. Kalau tidak dia tak jadi Perdana Menteri. UMNO seolah lupa. Saya melihat begitu.

“Walaupun tekanan cukup kuat terhadap Ismail Sabri, kemungkinan besar kalau dia kekal dengan sikap bertegas. Dia akan kekal,” katanya.

Pun begitu, katanya, tidak dinafikan keengganan mengadakan PRU mungkin akan menyebabkan Ismail Sabri dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

“Walaupun demikian, saya rasa tindakan itu tidak memberi kesan kepada jawatan Perdana Menteri. Asalkan dia mendapat sokongan Ahli Parlimen.

“Sokongan dia bukan daripada UMNO sahaja. Kalau UMNO tarik diri pun ada 34 kerusi. Ismail Sabri boleh minta tolong Anwar Ibrahim, Warisan, DAP, kalau betul-betul mereka (BN-UMNO) cuba nak jatuhkannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button