Berita UtamaDunia

Israel mengganas, 3 rakyat Palestin dibunuh kejam dalam sehari

Bekas tahanan ditembak mati, seorang lagi cedera

TEBING BARAT, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Dalam tempoh 24 jam, rejim haram Israel sekali lagi menembak mati seorang lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki pada Khamis.

Bekas tahanan yang dikenali sebagai Ayman Mahmoud Muhaisen, 29, ditembak di kem Dheisheh berhampiran Bethlehem, manakala seorang lagi warga Palestin cedera.

Dihubungi AFP, tentera Israel tidak mempunyai sebarang komen segera.

Terdahulu, seorang pemuda Palestin, Bilal Awad Tawfiq Kabha ditembak mati ketika tentera Israel melancarkan serbuan di kampung Yabad di Tebing Barat.

Pasukan keselamatan menceroboh masuk ke kampung itu untuk merobohkan rumah seorang warga Palestin yang didakwa melakukan serangan pada Mac yang mengorbankan lima orang di pinggir bandar Tel Aviv, Bnei Brak.

Kementerian Kesihatan berkata, lelaki berusia 24 tahun itu meninggal dunia di hospital di Jenin, selepas dimasukkan dalam keadaan kritikal, ditembak oleh peluru hidup di dada dan paha.

Agensi berita Palestin, Wafa berkata, enam rakyat Palestin cedera dalam serbuan Israel.

Awal pagi semalam, tentera Israel menembak mati seorang wanita Palestin ketika dia menuju ke tempat kerja baharunya dengan rangkaian media tempatan di bandar Hebron, Tebing Barat.

Ghufran Harun Warasneh, 31, ditembak berhampiran kem pelarian al-Arroub dan disahkan meninggal dunia di hospital, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Seorang saksi yang tidak disebutkan namanya memberitahu Wafa bahawa Warasneh sedang berjalan menuju ke jalan utama apabila dua askar yang mengawal pusat pemeriksaan tentera memintanya mendekati mereka sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan.

Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa, seorang penyerang bersenjatakan pisau mara ke arah seorang askar yang menjalankan aktiviti keselamatan rutin di Route 60.

Askar itu bertindak balas dengan tembakan langsung.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tentera Israel di lokasi kejadian menghalang pegawai perubatannya mendekati Warasneh selama 20 minit sebelum mereka berjaya memindahkannya ke hospital al-Ahli di Hebron.

Kementerian Luar Palestin mengutuk pembunuhan itu sebagai ‘pelaksanaan lapangan’. – Agensi

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/06/02/warga-palestin-mati-ditembak-di-dada-paha-oleh-rejim-zionis/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button