Lebih 50 penduduk di Gurun dipindahkan ekoran banjir kilat
Tiada pusat pemindahan banjir diaktifkan buat masa ini

ALOR SETAR, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Anggota jabatan bomba dan penyelamat dikerahkan untuk memindahkan lebih 50 penduduk di tiga penempatan di Gurun yang dilanda banjir kilat awal hari ini, berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa jam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Sayani Saidon berkata, anggota penyelamat dari Balai Bomba Guar Chempedak dan Yan telah dihantar ke Taman Gurun Jaya serta Kampung Ibor selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.35 pagi.
“Bertindak atas panggilan kecemasan, pasukan penyelamat membantu memindahkan 10 mangsa daripada empat keluarga di Taman Gurun Jaya.
“Pihak penyelamat turut membantu 13 mangsa di Kampung Ibor untuk dipindahkan selepas 50 rumah dinaiki air setinggi setengah meter dengan bantuan anggota polis dan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sayani berkata, anggota penyelamat dari Balai Bomba Guar Chempedak turut dikerah membantu tiga sekeluarga di Kg Sungai Bongkok yang terperangkap selepas penempatan itu dilanda banjir kilat kira-kira jam 7.30 pagi.
“Semua keluarga yang terjejas sedang mencari perlindungan di rumah saudara masing-masing dan tiada pusat pemindahan banjir diaktifkan buat masa ini,” katanya.
Pada Isnin, Jabatan Meteorologi menggesa orang ramai di Kedah berwaspada dengan ketibaan angin barat dan barat laut menjelang Rabu.
Pengarah negerinya, Muhammad Khalil Ab Aziz berkata angin kencang, diikuti hujan lebat dan ribut petir, dijangka berlarutan sehingga tujuh hari.