Dunia

Lebih 550 kes cacar monyet disahkan di seluruh dunia

WHO tak bercadang beri vaksinasi besar-besaran

GENEVA, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan lebih 550 kes cacar monyet dilaporkan di 30 negara yang bukan diisytihar endemik penyakit itu.

Ketua Pengarahnya, Tedros Ghebreyesus berkata, kemunculan secara tiba-tiba wabak cacar monyet di banyak negara dilihat mungkin disebabkan terdapat penularan yang tidak dapat dikesan.

“Setakat ini, kebanyakan kes telah dilaporkan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks  sejenis yang mengalami gejala kesihatan seksual.

“Komuniti ini bekerja keras untuk memaklumkan ahli mereka tentang risiko cacar monyet dan mencegah penularan,” katanya dalam webinar di Geneva, semalam.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Program Kecemasan Cacar WHO, Dr Rosamund Lewis berkata, setakat ini, pihaknya tidak mencadangkan pemberian vaksinasi besar-besaran.

“Tidak ada keperluan untuk vaksinasi besar-besaran. 

“Pada masa ini, kami menggambarkan ia sebagai wabak dalam komuniti tertentu, yang terlibat dalam perjalanan dan mempunyai hubungan fizikal,” katanya.

Terdapat beberapa negara di mana wabak ini adalah endemik iaitu Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Nigeria dan Cameroon.

Mengulas mengenai wabak COVID-19, Tedros berkata, kes baharu dan kematian akibat virus itu terus menurun secara global, walaupun trend harus ditafsirkan dengan berhati-hati memandangkan kebanyakan negara sudah mula mengurangkan ujian saringan.

“Dan kami melihat mengenai trend di beberapa wilayah. Kes dan kematian yang dilaporkan meningkat di Amerika, manakala kematian juga meningkat di rantau Pasifik Barat dan Afrika,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button