Berita Utama

MAFI pastikan tiada aktiviti eksport ayam mulai 1 Jun

Semua permit bawa keluar komoditi dibatalkan dan disekat

KUALA LUMPUR, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan memastikan tiada aktiviti pengeksportan ayam mulai 1 Jun selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 23 Mei lalu.

MAFI dalam kenyataan berkata bagi memastikan larangan itu dipatuhi kelulusan permit yang meliputi pengeksportan ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam tidak lagi dikeluarkan.

“Semua kelulusan permit untuk membawa keluar komoditi tersebut mulai 1 Jun 2022 dibatalkan dan disekat.

“Kawalan secara fizikal di semua pintu keluar dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa MAQIS dan sebarang aktiviti untuk mengeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MAFI tindakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 (Akta 728) boleh diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan itu dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut MAFI, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang persoalan mengenai larangan eksport komoditi ayam, boleh dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected] – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button