Tiada bayaran RT-PCR untuk jemaah haji di fasiliti KKM
Kos ujian perlu ditanggung sepenuhnya jika di fasiliti swasta

BANGI, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Jemaah haji Malaysia dikecualikan daripada bayaran ujian pengesanan COVID-19 yang dilakukan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
Oleh demikian, KKM bersetuju melaksanakan ujian pengesanan RT-PCR secara percuma kepada jemaah haji Malaysia musim ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi jemaah haji memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di fasiliti kesihatan swasta, kos ujian itu perlu ditanggung sepenuhnya oleh mereka mengikut caj yang dikenakan.
“Jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Tabung Haji Daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini termasuklah senarai fasiliti kesihatan KKM yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Khairy berkata, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit yang ketat susulan pandemik COVID-19 bagi memastikan operasi haji dilaksanakan dengan selamat serta lancar.
Katanya, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu disahkan negatif COVID-19 menerusi ujian pengesanan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan di Tanah Suci.