Berita UtamaDunia

Warga Palestin mati ditembak di dada, paha oleh rejim Zionis

Serbuan turut cederakan 6 yang lain, 3 dalam keadaan kritikal

TEBING BARAT, 2 Zulkaedah 1443H, Khamis – Seorang lelaki Palestin ditembak mati ketika tentera rejim Zionis melancarkan serbuan di bandar Yabad di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Bilal Awad Tawfiq Kabha, 24, terbunuh selepas ditembak di dada serta paha, dan tiba dalam keadaan kritikal di Hospital Kerajaan Jenin, semalam.

Enam orang lain turut cedera dengan kesan tembakan, tiga daripadanya kritikal.

Sumber tempatan memberitahu agensi berita Palestin Wafa bahawa tentera Israel sedang melakukan serbuan ke atas rumah keluarga Diya Hamarshah – yang melakukan serangan mengorbankan lima warga Israel pada Mac – dia kemudian ditembak mati oleh polis.

Tentera Israel diiringi kira-kira 30 kenderaan ketenteraan termasuk sebuah jentolak.

Wafa juga melaporkan bahawa peneroka Israel menyerang kereta milik rakyat Palestin di Yabad.

Tentera Israel mengesahkan kepada akhbar The Times of Israel bahawa mereka sedang menjalankan operasi untuk merobohkan rumah Hamarshah.

Rakaman video yang disiarkan di laman Twitter menunjukkan kenderaan berperisai Israel melalui bandar Palestin pada waktu malam.

Rejim Zionis sering memusnahkan rumah individu yang dipersalahkan untuk serangan ke atas rakyatnya.

Tindakan itu – yang sering mencetuskan ketegangan – dikutuk oleh pengkritik sebagai satu bentuk hukuman kolektif.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, negara pengganas Israel melakukan serbuan hampir setiap hari di dalam dan sekitar perkampungan Jenin di Palestin.

Bulan lalu, tokoh kanan Palestin di Jenin, Daoud al-Zubaidi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam serbuan Israel di bandar berkenaan.

Serbuan itu berlaku dua hari selepas seorang askar Israel menembak dan membunuh wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh ketika pencerobohan yang sama ke atas kem.

Pembunuhan Shireen dan serangan seterusnya terhadap pengebumian wartawan veteran itu mengundang kecaman meluas antarabangsa terhadap Israel dan menyerlahkan sejarah panjangnya menyasarkan wartawan Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button