Berita UtamaDunia

Perang masuk hari ke-100, Russia kuasai 20 peratus Ukraine

Kawasan ditawan lebih besar daripada gabungan Belgium, Belanda dan Luxembourg

LUXEMBOURG, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Peperangan kini memasuki hari ke-100 ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengakui Russia kini sudah menawan kira-kira 20 peratus negara.

Zelensky ketika berucap di Parlimen Luxembourg berkata, kawasan ditawan Russia lebih besar daripada gabungan Belgium, Belanda dan Luxembourg.

Katanya, sehingga kini puluhan ribu rakyat Ukraine menjadi mangsa dalam peperangan.

“Ini gambaran sebenar yang menjelaskan peperangan berskala besar dan sebab itu kami menggesa masyarakat dunia memberi sokongan kepada kami.

“Sekiranya kami menang dalam peperangan, seluruh rakyat Eropah akan terus bebas.

“Namun, jika ada seorang sahaja individu yang mahu musnahkan kebebasan di Ukraine, seluruh rakyat Eropah akan berdepan masa yang kelam di benua ini,” katanya sambil merujuk kepada Presiden Vladimir Putin.

Beliau menambah, selepas gagal menguasai ibu negara Kyiv awal peperangan lalu, tentera Russia telah memberi tumpuan ke tenggara negara ini di wilayah Donbas termasuk Donetsk dan Luhansk.

Gabenor Donetsk, Pavlo Krylenko pula berkata, tentera Russia kini cuba mara ke bandar-bandar di Kramatorsk dan Sloviansk di Donestsk. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button