Polis Israel ‘pilih bulu’ tahan rakyat Palestin
Nasionalis Yahudi cetus provokasi tapi tidak ditahan

BAITULMAQDIS, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Polis negara pengganas Israel bersikap memilih bulu apabila hanya menahan puluhan rakyat Palestin ketika perarakan nasionalis Yahudi melalui Baitulmaqdis minggu ini.
Puluhan ribu nasionalis Israel mengambil bahagian dalam perarakan pada Ahad – perarakan tahunan yang meraikan penawanan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur dalam perang Timur Tengah 1967.
Orang Yahudi melaungkan slogan berbaur perkauman, menyerang rakyat Palestin dan merosakkan harta benda mereka ketika perarakan itu.
Rakyat Palestin menganggap peristiwa berkenaan sebagai provokasi.
Polis Israel berkata, selepas perarakan itu, 60 orang ditahan tetapi enggan memberikan butiran walaupun ditanya oleh wartawan.
Haaretz pada Khamis melaporkan, akhbar itu menyemak nama rekod tahanan dan mendapati tiada orang Yahudi dalam kalangan mereka yang ditahan.
Katanya, dua orang Yahudi ditahan dalam kejadian berasingan yang berkaitan.
Menurut laporan Haaretz, hampir semua mereka yang ditahan adalah warga Palestin.
Dua suspek Yahudi ditahan selepas perarakan dalam pukulan seorang wartawan Palestin ketika kekacauan di luar Kota Lama, katanya.
Akhbar itu menyusun statistik dengan meneliti rekod mahkamah pada hari selepas perarakan.
Polis Israel tidak menjawab permintaan untuk komen.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berkata, hanya sebilangan kecil peserta perarakan bendera yang bertanggungjawab di atas kelakuan buruk itu dan berikrar untuk mendakwa sesiapa yang melanggar undang-undang.
Penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur sudah lama mengadu mengenai sikap ‘double standard’ menunjukkan warganya kerap ditahan dan disuraikan secara ganas oleh polis, manakala peneroka haram Yahudi sering melakukan serangan dan vandalisme dengan sewenang-wenangnya. – Agensi