Berita Utama

BN cipta kestabilan? Ibarat angan kosong: Pemuda BERJASA

Pemimpin terpalit pelbagai isu tak layak teraju negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Malaysia memerlukan kepimpinan baharu kerana kepemimpinan sedia ada sememangnya tepu dan statik.

Bahkan, pemimpin terpalit dengan pelbagai isu serta gagal menempatkan agenda pembangunan negara dalam perjuangan parti tidak layak meneraju sebuah negara unggul lagi bermaruah, tegas Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan.

“Banyak lagi isu yang perlu diperjuangkan. Kita dihantui isu perbekalan. Makanan tak cukup, segalanya bergantung kepada import. Sedangkan kita boleh bangkit sebagai negara berpendapatan tinggi dan menjadi negara pengeluar.

“Ke mana hasil mahsul kekayaan negara ini dibelanjakan kalau bukan dicuri oleh pemimpin ‘politik dinosaur’ yang sentiasa mengambil kesempatan di atas kestabilan negara.

“Nasihat saya negara perlu dibawa dengan pendekatan baharu dengan mengangkat kepimpinan baharu dari kalangan negarawan yang lebih menjiwai perjuangan membina peradaban bangsa dan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kesan daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan negara tidak pernah lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, apa yang dilalui selama hampir empat tahun ini diyakini bahawa hanya acuan BN sahaja yang mampu mencipta kestabilan.

Membidas perkara itu, Ustaz Fahmi secara sinis berkata, kenyataan tersebut tidak ubah seperti angan-angan kosong.

Ini kerana kestabilan sahaja tidak cukup sebaliknya Malaysia memerlukan penambahbaikan dari segenap sudut.

Justeru, bagi menjayakan misi bersama memimpin negara, BERJASA hadir dengan menubuhkan majlis tindakan bersama iaitu Majlis Negarawan BERJASA, katanya.

“Sebab itu BERJASA menawarkan Malaysia sebagai sebuah negara unggul dan bermaruah menjelang 2040.

“Bagi membina sebuah kerangka bangunan yang kukuh dan cantik, pelbagai elemen yang perlu diganding bersama. Perlu ada simen, pasir, besi dan batu untuk membina konkrit yang kuat. Dihias lagi dengan bunga, kaca, cat dan banyak lagi elemen yang turut sama terlibat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button