Berita Utama

Desak segerakan PRU15 pentingkan diri, mahukan kuasa: Abdul Hadi

Rakyat kini terbeban dengan pelbagai isu termasuk ekonomi, kos sara hidup

BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – PAS menyifatkan desakan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah langkah tidak wajar memandangkan rakyat ketika ini masih terbeban dengan pelbagai isu termasuk ekonomi dan kos sara hidup.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya bersedia berdepan PRU15 pada bila-bila masa, namun ketika ini kesusahan rakyat menjadi keutamaan dan perlu diselesaikan.

“PRU15 masih belum sesuai dilaksanakan buat masa ini kerana rakyat sedang dihimpit kesusahan.

“Berdasarkan perkembangan ekonomi dunia banyak pihak yang terkesan perang antara Russia-Ukraine di samping krisis harga minyak yang turut mempengaruhi ekonomi negara, lagi pun, COVID-19 belum diisytiharkan tamat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, buat masa ini, kerajaan tidak akan tunduk terhadap mana-mana desakan untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

“Kita tidak bergantung kepada desakan sesiapa. Mereka yang mendesak hanya mahukan kuasa. Kita bukan nak kuasa kita mahu kepada rakyat sahaja, jangan susahkan rakyat,” katanya.

Malah, beliau turut menyifatkan desakan supaya diadakan PRU dalam keadaan negara berdepan inflasi adalah sikap pentingkan diri sendiri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button