Berita Utama

GST: Rakyat terhimpit, jangan kenakan cukai pada barangan asasi

Perlu pertimbangan sewajarnya supaya rakyat tak tertekan

BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya jika ingin melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu perlu bagi mengambil kira rakyat yang kini terbeban dengan situasi inflasi dan kos sara hidup tinggi.

Justeru, katanya, pertimbangan saksama wajar dilakukan supaya golongan kurang berkemampuan tidak terus tertekan jika sistem percukaian itu dikembalikan.

“Jangan kenakan cukai terhadap barangan asasi. Rakyat sudah terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang berlaku sekarang.

“Pelaksanaan semula GST perlu dilihat kepada kewajaran dengan mengambil kira bebanan kepada rakyat dan tanggungjawab kerajaan. Sebab itulah ia perlu dipertimbang dengan adil dan saksama,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani inflasi dan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula GST.

Bagaimanapun, cadangan mengembalikan sistem percukaian itu ditolak Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kerana keadaan inflasi yang semakin tinggi.

Malaysia beralih kepada GST ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, dengan kadar enam peratus yang dikritik pembangkang serta kumpulan pengguna.

Setelah PH yang diteraju Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran, pelaksanaan GST dibatalkan sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button