Dunia

India: Seorang wanita berani mati panjat perigi demi air

Masalah kekurangan air isu berulang tiap kali musim panas

NEW DELHI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Satu rakaman video memaparkan seorang wanita memanjat perigi demi mendapatkan air di India tular, sekali gus menonjolkan krisis teruk di beberapa kawasan di negeri Madhya Pradesh.

Video tular berkenaan memaparkan wanita terbabit berani menuruni telaga tanpa bantuan tali untuk mendapatkan air.

Difahamkan, penduduk di kampung Ghusiya itu terpaksa mengambil langkah bahaya sebegitu selepas kebanyakan telaga dan kolam kering.

Beberapa kawasan lain di seluruh India turut menghadapi krisis air yang sama.

Video seumpama itu yang memaparkan rakyat India sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk mendapatkan air kerap menjadi tular.

Pada April lalu, video sama menunjukkan seorang wanita turun ke dalam perigi di negeri Maharashtra untuk mendapatkan air.

Laporan global 2019 menyenaraikan India antara 17 negara yang berdepan tekanan krisis air.

Laporan itu berkata, negeri Madhya Pradesh, Punjab, Rajasthan, Uttar Pradesh, Gujarat, Uttarakhand dan Haryana adalah antara yang paling teruk dilanda krisis itu.

Di Madhya Pradesh, masalah kekurangan air adalah isu berulang setiap kali musim panas.

Kerajaan negeri telah menjanjikan bekalan air paip ke setiap kampung menjelang 2024, namun air minuman masih tidak dapat diakses oleh jutaan penduduk.

Rata-rata rakyat India di media sosial menyifatkan video tular itu sebagai menyayat hati dan mendesak pihak berkuasa untuk segera membantu kampung berkenaan.

India adalah pengekstrak air bawah tanah terbesar di dunia – ramai yang masih bergantung kepadanya untuk bekalan air harian mereka.

Tetapi hampir dua pertiga daripada daerah di negara ini terancam oleh kejatuhan paras air bawah tanah, kata Bank Dunia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button