Berita Utama

Kesedaran rakyat penting elak HFMD terus merebak

Segera hantar anak ke hospital jika ada gejala demam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kesedaran rakyat terhadap persekitaran amat perlu dalam mengekang penyakit berjangkit termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria berkata, orang ramai perlu sentiasa sedar dan mengambil langkah berjaga-jaga di samping mengamalkan langkah kawalan dan pencegahan COVID-19.

“Apa yang diamalkan ketika COVID-19 juga perlu diamalkan dalam menghadapi monkeypox (cacar monyet) ataupun HFMD.

“Jaga penjarakan, kuarantin dan basuh tangan apabila sudah bersentuhan. Kesedaran itu perlu sama,” katanya dalam rancangan Dimensi di TV Pertiwi.

Dr Norzaidi berkata, kelebihan pandemik COVID-19 telah mengajar rakyat supaya sentiasa memakai pelitup muka, membasuh tangan, menjaga penjarakan sosial dan tidak berada di tempat sesak.

“Dan jika kuarantin buat sebetulnya. Jangan buat lebih kurang sahaja sebab kita kena ingat kita boleh menjadi punca merebaknya penyakit,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya mengenai saranan kerajaan negeri Kelantan supaya taska, tadika dan pusat jagaan agar menutup operasi meskipun terdapat hanya satu kes penyakit HFMD membabitkan kanak-kanak di premis mereka, beliau berkata, itu langkah yang sepatutnya.

“Sekarang ini kesedaran kepada ibu bapa. Sekiranya anak mereka sudah mula demam, perlu cepat ke hospital ataupun klinik,” katanya.

Setakat ini, 71,471 kes HFMD direkodkan pada minggu epidemiologi (ME) 22/2022 (30 Mei) seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 65,032 kes iaitu 91 peratus dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah manakala 5,194 kes (tujuh peratus) dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun.

Dilaporkan 691 premis tadika, taska, prasekolah diarah tutup dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 146 premis ditutup secara sukarela; dan di Selangor pula 216 premis ditutup di bawah Akta 342, manakala 21 premis ditutup secara sukarela.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/753757795641310

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button