Berita Utama

MAFI disaran perluas penanaman padi benih 1S21

Ia bagi meningkatkan kadar pengeluaran padi di negara ini

KUALA TERENGGANU, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) disaran supaya memperluas penggunaan benih padi baharu berteknologi tinggi IS21 bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata ketika ini hanya 32,000 hektar atau enam peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman padi negara ditanam dengan benih IS21 yang diinovasikan oleh Nukleur Malaysia.

“Ketika ini kadar sara diri atau self-suffiency level (SSL) pengeluaran padi negara adalah sekitar 70 peratus.

“Maka amat penting untuk negara meningkatkan pengeluaran padi negara dalam kadar segera bagi memenuhi keperluan penduduk dan mengelakkan kebergantungan pada import,” katanya selepas majlis penyerahan benih padi IS21 kepada Pertubuhan Peladang kawasan Kuala Terengganu di sini hari ini.

Sebanyak 200 beg benih padi disumbangkan kepada 50 pesawah di sekitar Kuala Terengganu dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan pendapatan mereka.

Benih padi berteknologi tinggi IS21 mempunyai pelbagai kelebihan dari segi ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat dan mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi zat dan nutrisi.

Dari segi penghasilan, ia boleh mengeluarkan hasil sehingga 10 tan sehektar mengikut kawasan penanaman jika diurus dengan baik dan garis panduan yang disyorkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button