PAS anggap ‘Malaysia Asal’ BN retorik
'Ini soal kesedaran rakyat yang mahukan pembaharuan dan perubahan’

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mengembalikan ‘Malaysia Asal’ bagi mencipta kestabilan disifatkan sebagai pandangan retorik semata-mata.
Malah janji berkenaan dilihat sebagai gula-gula dan janji manis untuk mencari sokongan sahaja.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak timbul kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarkan pembaharuan dengan Malaysia Baharu kerana ini melibatkan soal kesedaran rakyat yang mahukan pembaharuan dan kemajuan.
“Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kesedaran rakyat untuk membetulkan keadaan sangat tinggi dan buktinya PRU14, BN kalah terduduk.
“Namun sayangnya tempoh masa yang singkat yang diberikan kerajaan tersebut tidak mampu membuktikan segalanya, jadi tidak perlu Zahid bercakap soal tersebut.
“Selama 60 tahun BN memerintah apa yang telah mereka lakukan, nak kata tadbir urus yang betul dan cekap, ada juga masalah kemiskinan yang berlaku di negara kita.
“Kalau diterokai, ada lagi teruk di Kelantan sendiri, adakah itu pembaharuan dan kesaksamaan yang mereka bawa,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa, negara kini tidak pernah lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah dahulu.
Malah, beliau menyifatkan Malaysia Baharu yang dibawa telah melebarkan jurang hingga menggugat keharmonian.
Katanya lagi, apa yang dilalui selama hampir empat tahun ini diyakini bahawa hanya acuan BN sahaja yang mampu mencipta kestabilan.
“Kita harus kembalikan ‘Malaysia Asal’ bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal.
“Malaysia Asal atau The Original Malaysia yang dimaksudkan adalah berpandukan formula BN yang digagaskan oleh ‘our forefathers’ yang telahpun dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan dan diperkasakan lagi melalui Rukun Negara dan pelbagai dasar-dasar berteraskan prinsip toleransi dan kesetiaan yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, tidak sepatutnya kenyataan itu keluar daripada mulut pemimpin tersebut yang nampak keburukan daripada satu pihak sahaja.
Sebaliknya Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, rakyat hari ini sudah bijak, mereka sudah boleh menilai bukan lagi seperti dahulu yang sering dipermainkan oleh pemimpin pandai berkata-kata.
“Tidak perlu cari kelemahan orang lain lagi, banyak lagi kelemahan BN sendiri ketika mentadbir negara dahulu, tapi rakyat tetap memberi peluang ketika itu.
“Namun kini rakyat sudah bijak dan mahu pembaharuan bukan lagi tahu mencari kesalahan dan membanding-banding kehebatan sesama sendiri,” katanya.
Kembalikan ‘Malaysia Asal’ Tolak Retorik ‘Malaysia Baharu’, Hanya Acuan BN Mampu Cipta Kestabilan