Berita Utama

Pentaksiran terbaik nilai segala potensi tersembunyi pelajar: Presiden ISMA

Tidak tertumpu penuhi kehendak pasaran kerja atau pembangunan ekonomi

BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) baik atau buruk ditentukan oleh bentuk pentaksiran yang akan digantikan kelak.

Bagaimanapun bagi Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, pentaksiran terbaik adalah menilai segala potensi yang tersembunyi di dalam diri pelajar.

“Pentaksiran menyeluruh akan membangunkan sistem pendidikan yang lebih menyeluruh dan tidak tertumpu hanya kepada memenuhi kehendak pasaran kerja atau pembangunan ekonomi sahaja.

“Bertitik tolak dari situ, penghargaan kepada pelajar pelbagai potensi juga akan berlaku. Tiada lagi istilah keciciran kerana segala potensi ada ruangnya dalam negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan PT3 pada tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Katanya, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan serta pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.

Beliau berkata, keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang diguna pakai sejak 2014 itu bertujuan untuk membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button