Berita Utama

Permintaan mendadak ubat paracetamol, vitamin C kanak-kanak

Tiada produk alami gangguan bekalan secara menyeluruh

BANGI, 3 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol, vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.

Ini susulan merujuk kepada isu kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal yang dilaporkan dalam media massa dan menerusi laman sosial.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim berkata, kekurangan bekalan dikatakan melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

“Namun, pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

“Pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, maklum balas itu diterima daripada pihak industri farmaseutikal melalui satu perjumpaan yang diadakan pada 2 Jun lalu.

Katanya, perjumpaan itu membabitkan Program Perkhidmatan Farmasi dengan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS).

“Kementerian Kesihatan sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu-isu yang berkaitan dengannya.

“Pemantauan yang ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button