Berita Utama

55 peratus kes pembedahan tertunggak disasar selesai hujung tahun ini

20 hingga 25 peratus kes diserah kepada hospital swasta

MELAKA, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Jabatan Kesihatan Melaka menyasarkan untuk menyelesaikan kira-kira 55 peratus daripada jumlah pembedahan tertunggak yang mencecah ribuan kes ekoran penularan COVID-19, menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, jumlah pembedahan tertunggak itu membabitkan tempoh antara awal Januari tahun lepas hingga awal Januari tahun ini.

“Tidak dinafikan kes pembedahan tertunggak memang banyak dan sebenarnya kita berdepan dengan bukan sekadar ratusan tetapi ribuan kes namun ia bukan hanya berlaku di Melaka tetapi di seluruh negara dan juga dunia ekoran penularan COVID-19 khususnya varian Delta.

“Namun pada tahun ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah memberi mandat kepada semua pengarah kesihatan negeri supaya memberi tumpuan pada kes tertunggak ini agar ia dapat diselesaikan sebolehnya pada tahun ini dan Melaka telah memberi komitmen berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Wellness On Wheel (WOW) yang disempurnakan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, bagi menyelesaikan kes pembedahan tertunggak itu, 20 hingga 25 peratus kes berkenaan akan diserahkan kepada hospital swasta di negeri ini manakala 30 hingga 35 peratus kes pula akan diselesaikan di Hospital Melaka.

Beliau berkata, antara kekangan utama yang dihadapi untuk menyelesaikan kes pembedahan tertunggak tersebut ialah masa pengoperasian bilik bedah yang ditetapkan maksimum hanya sehingga lapan jam sehari.

Justeru, katanya secara purata hanya lapan pembedahan yang mengambil masa satu jam bagi setiap satu pembedahan boleh dilakukan sehari di dalam satu bilik bedah dan situasi itu memberi impak kepada jumlah pembedahan tertunggak.

“Oleh itu, kita telah mengenal pasti apa keupayaan yang ada dan pembedahan kecil seperti katarak dan telinga akan dilakukan di Hospital Alor Gajah atau Hospital Jasin.

“Pada setiap Sabtu pula, kita akan lakukan pembedahan khususnya melibatkan kes besar seperti pembedahan rahim dan kita juga buat pembedahan perdana dengan mengumpulkan pakar dari daerah atau negeri lain untuk membantu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button