Berita Utama

Guru perlu terima polisi PBS dengan hati terbuka: Kongres

Tindakan pembetulan, pencegahan serta-merta jamin kualiti pelaksanaan

BANGI, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Para guru perlu menerima polisi pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dengan hati terbuka serta ikhlas melaksanakannya bagi menjamin pengembangan pembelajaran pelajar baik tanpa tekanan kepada peperiksaan.

Bahkan, Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu menjadikan PBS fokus utama mereka ketika mesyuarat serta gerak kerja membimbing pentadbir sekolah serta guru-guru dalam kelas.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md Kechik menyuarakan saranan itu berkata, pihak berkenaan perlu mengamalkan tindakan pembetulan dan pencegahan serta-merta bagi menjamin kualiti pelaksanaan PBS di sekolah.

Katanya, banyak isu dan persoalan yang perlu dirungkaikan daripada segi pelaksanaan PBS oleh KPM.

“Bagi merealisasikan polisi Kementerian Pendidikan ini, Kongres berharap satu penataran yang teliti dan jelas perlu diberi kepada warga pendidik sama ada yang berada dalam bidang pentadbiran dan dalam kelas,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Khamis lalu, KPM memutuskan untuk memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun ini serta mengambil pendekatan memperkasakan PBS melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Dengan pemansuhan PT3 yang diguna pakai sejak 2014 mulai tahun ini, PBS yang mengandungi tiga komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dimantapkan.

Pendekatan baharu yang diperkenalkan adalah pentaksiran sumatif, iaitu penilaian murid mengikut tahun dan tingkatan.

Ia membabitkan murid Tahun 4, 5, 6 serta pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang akan dilaksanakan bermula pada sesi akademik 2022/2023.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button