Hamas kecam keputusan bina 820 unit penempatan haram Israel
Percubaan terdesak Israel ketatkan kawalan ke atas Baitulmaqdis

GAZA, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengecam keputusan negara pengganas Israel untuk membina 820 unit penempatan baharu sebagai percubaan terdesak bagi mengetatkan kawalan ke atas Baitulmaqdis.
Dalam satu kenyataan, Hamas menegaskan, langkah sedemikian sebahagian daripada rancangan Israel untuk ‘mengyahudikan’ kota suci dan menukar identitinya.
“Membina 820 unit penempatan Yahudi di atas runtuhan kawasan kediaman Palestin adalah percubaan terdesak untuk mengetatkan kawalan Israel ke atas Baitulmaqdis yang diduduki,” katanya.
Kumpulan Islam yang memerintah Semenanjung Gaza berkata, projek penempatan perluasan ini dianggap sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang antarabangsa yang tidak dipatuhi oleh pendudukan.
“Oleh itu, projek ini mesti dikutuk bahkan ditolak dan mesti ada langkah serius untuk menghentikannya dan semua projek pendudukan Israel yang bertujuan untuk mencuri tanah kami dan tapak suci,” tegasnya.
Hamas juga mengulangi bahawa penentangan berterusan terhadap pendudukan Israel di seluruh bandar, pekan, kampung dan kem pelarian Palestin akan menghalang pendudukan serta menamatkan pencerobohannya ke atas rakyat. – Agensi