Berita Utama

Hati-hati jika terima e-mel guna profil pemimpin negara

Lapor polis jika kandungan e-mel telah dipastikan palsu: MCMC

BANGI, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati jika menerima e-mel menggunakan profil pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.

Suruhanjaya itu berkata, sebarang komunikasi yang diterima luar daripada kebiasaan perlulah disemak dan ditentukan kesahihannya serta tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

Katanya, ia bertujuan untuk mengelakkan dari menjadi mangsa kepada aktiviti yang berniat jahat dan berunsur penipuan.

“Penyebaran kandungan palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Peringatan ini dikeluarkan hasil daripada aduan yang diterima dari orang ramai di mana terdapat e-mel yang tidak ditentusahkan telah ditangkap layar dan disebarkan melalui aplikasi permesejan dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, MCMC meminta orang ramai untuk membuat semakan dengan pihak yang terlibat – di mana profil serta identitinya digunakan – dan jangan sebarkan sebarang kandungan mencurigakan bagi mengelak kekeliruan umum.

Katanya, laporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya telah dipastikan kandungan e-mel itu tidak benar atau palsu, bagi memudahkan tindakan sewajarnya diambil.

“Sekiranya ada menerima e-mel yang mencurigakan, sertakan email header bagi e-mel tersebut semasa mengemukakan laporan kepada pihak polis.

“Orang ramai juga boleh membantu menghentikan penyebaran e-mel tersebut dengan melaporkan penyalahgunaan e-mel kepada penyedia perkhidmatan e-mel seperti Gmail atau Yahoo! Mail,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button