Dunia

Larangan eksport gandum India bertujuan sekat akses ke pasaran spekulator

Pembeli ditekan, pengeluaran berkembang tetapi diihalang daripada diperdagang

NEW DELHI, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – India mengenakan larangan eksport gandum bagi melindungi pasaran domestik dan mengurangkan akses bekalan kepada spekulator, kata Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar.

“Apa yang kami lihat adalah pembeli berpendapatan rendah semakin ditekan, pengeluaran gandum semakin berkembang, tetapi telah dihalang daripada diperdagangkan, dengan itu komoditi kami telah digunakan untuk spekulasi.

“Kami terpaksa melakukan sesuatu untuk menghentikan perkara itu, kerana ia turut memberi kesan kepada kami – harga semakin meningkat.

Kami tidak akan memberi spekulator akses terbuka ke pasaran India , supaya pelanggan India dan LDC (negara kurang membangun) di dunia mendapat kebaikan daripadanya,” kata Jaishanka ketika Forum Globsec 2022 Bratislava pada Jumaat.

Pada tahun lepas, India telah mengeksport kira-kira 7 juta tan gandum, manakala lazimnya, negara itu hanya mengeksport kira-kira 2-3 juta tan.

Jaishanka berkata India berhasrat mahu memberi tumpuan kepada pembeli tradisionalnya, seperti Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Yaman dan Sudan, lapor Sputnik.

“Tahun ini, sebelum gelombang haba yang dahsyat melanda India, jangkaan kami akan melakukan eksport yang tinggi… Tetapi akhirnya gandum kami musnah. Sebahagian besar daripada spekulasi dilakukan oleh pedagang antarabangsa,” kata Jaishanka.

“Apa yang kita lihat berlaku terhadap vaksin, kita tidak mahu melihat ia berlaku terhadap gandum, iaitu hanya orang kaya mendapat vaksin dan orang miskin hanya mampu bergantung nasib dan Tuhan”.

Pada 14 Mei, India mengenakan sekatan eksport gandum susulan kenaikan harga gandum global, yang berpotensi menjejaskan keselamatan makanan di dalam negara dan di rantau ini.

Akibat keputusan itu, harga gandum di Eropah melonjak kepada US$455 satu tan.

Pada akhir bulan lalu, Menteri Perdagangan dan Industri India Piyush Goyal berkata India akan membenarkan eksport gandum ke negara-negara yang mesra dengannya dan kepada mereka yang memerlukan, tetapi tidak akan menarik balik larangan untuk pembekal swasta.

Banyak negara pengimport gandum, termasuk negara anggota G7, meminta India mempertimbangkan semula keputusannya untuk menghentikan eksport gandum berikutan sekatan Barat ke atas satu daripada pembekal makanan terbesar, Rusia, dan gangguan eksport bijirin dari Ukraine. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button