Berita Utama

Mansuh PT3: Inilah budaya kita tukar menteri, tukar polisi

Semua perubahan dibuat tanpa kajian, penelitian mendalam

BANGI, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diguna pakai sejak tahun 2014 untuk memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak yang menyokong dan mempertikaikannya.

Ada pihak yang menganggap langkah ini sebagai usaha kerajaan keluar daripada pembelajaran berasaskan peperiksaan, sekali gus dikatakan mampu mengurangkan tekanan kepada guru dan pelajar.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim melihat perkara berkenaan dari sudut berbeza kerana berpandangan bahawa pemansuhan atau pengekalan PT3 mahupun peperiksaan lain bukanlah sebagai isu utama.

Beliau berkata, isu dilihat kini adalah kehilangan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negara yang silih berganti dalam membangunkan pelan jangka masa panjang sistem pendidikan berdaya saing.

“Tukar menteri, tukar polisi. Setiap menteri pula hanya fikir pencapaian penggal masing-masing selama empat tahun.

“Budaya yang kita lihat ialah menteri baharu buang yang lama, cipta terma-terma baharu yang nampak bijak, buat perubahan sana sini kononnya untuk tinggalkan legasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, beliau berkata, semua perubahan itu dibuat tanpa kajian dan penelitian yang mendalam sehingga berlaku pelbagai kecelaruan dalam sistem pendidikan.

“Benarkah tanpa sistem berteraskan peperiksaan kita akan maju? Belum tentu. China kuasa dunia baharu dan Jepun negara ke-4 termaju dunia masih dengan sistem pendidikan yang kuat berteraskan peperiksaan.

“Bukankah Malaysia telah mencatatkan kemajuan ekonomi yang amat luar biasa sejak 1970 sehingga kini 2022?,” soalnya.

Muhammad Lukman berkata, bukankah semua pemimpin, bijak pandai dan pemacu ekonomi negara sejak puluhan tahun dahulu, lahir daripada sistem pendidikan berasaskan peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Jadi, di mana silapnya sistem peperiksaan ini sebenarnya? Benarkah kita boleh bertambah maju dengan sistem penilaian berasaskan sekolah atau bilik darjah? Mungkin.

“Ini terbukti di banyak negara maju lain seperti USA, Australia dan beberapa buah negara Eropah. Tapi kalau betul nak tiru, tirulah sistem itu secara holistik,” katanya.

Katanya, jangan hanya meniru dari aspek pemansuhan peperiksaan semata-mata, sedangkan gaji, bebanan guru, sistem sokongan dan infrastruktur sekolah, agenda pendidikan, dana serta sistem tadbir urus yang telus dipandang sepi.

“Mansuh atau tidak bukanlah persoalan pokok.

“Tapi apa sebenarnya acuan pendidikan yang kita mahukan bagi melahirkan generasi masa depan yang lebih takut Tuhan dan lebih tekun dalam pekerjaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button