Berita Utama

Petugas TH anjur solat hajat, bacaan Yasin sambut ketibaan jemaah

Majlis dihadiri kira-kira 100 orang petugas TH

MADINAH, 4 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Dalam kerancakan melakukan pelbagai persiapan menyambut kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang akan tiba di sini, kira-kira 100 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) tetap mengambil peluang melakukan solat hajat secara berjemaah.

Malam tadi, mereka turut mengadakan bacaan yasin dan tahlil serta memanjatkan doa agar operasi pengurusan berlangsung dengan teratur.

Majlis tersebut diadakan di surau Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Madinah selepas waktu maghrib, dipimpin oleh Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Ustaz Mohd Hishammuddin Mansor.

Sementara itu, Pengarah Operasi Madinah Mohamed Heikal Mohamed Yusuff berharap urusan operasi haji musim 1443H/2022M berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci.

“Dalam masa yang sama, majlis ini juga adalah satu ruang untuk para petugas haji baharu dan lama menjalin ukhwah dalam usaha kita membina satu pasukan bagi menyantuni dhufurrahman (tetamu Allah),” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kumpulan pertama seramai 295 orang dijadualkan tiba dengan pesawat Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz di Madinah pada 4.55 petang (waktu Arab Saudi) esok.

Pelbagai program ibadat dan ziarah telah diatur TH selama enam hari lima malam untuk para jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah bagi melaksanakan ibadat umrah pada 10 Jun. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button