Berita Utama

Agong ada kuasa Perlembagaan tolak tarikh PRU15

Isu akan dibincangkan bersama 5 pemimpin tertinggi UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, adalah bercanggah dengan Perlembagaan jika beliau yang menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana kuasa penentu terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya boleh menasihatkan Seri Paduka Baginda bila PRU15 akan diadakan sebaik sahaja diberi mandat oleh Kabinet.

Ismail Sabri juga berkata, Seri Paduka Baginda boleh menolak cadangannya jika tidak bersetuju dengannya.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menolak atau bersetuju. 

“Saya tidak boleh nyatakan tarikh kerana itu bermakna saya akan mengambil alih tugas Yang di-Pertuan Agong,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri sebelum ini, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pernah menetapkan tarikh pilihan raya umum.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, isu itu akan dibincangkan bersama lima pemimpin tertinggi UMNO, biro politik dan majlis tertinggi UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

“Kemudian saya juga akan membincangkannya dalam Kabinet,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini berkata di Facebook bahawa Perdana Menteri perlu konsisten dan tegas dalam keputusannya berkaitan tarikh pilihan raya.

Sebagai tindak balas, perdana menteri berkata: “DAP mungkin mempunyai sikap tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong tetapi saya menghormatinya.”

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button