Berita UtamaIstimewa

Boleh GST tapi mesti 2 atau 3 peratus saja

'Jika kerajaan kata GST turun harga barang, pastikan benar-benar berlaku'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI,5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekiranya mahu dilaksanakan semula, ia perlu dilakukan dengan lebih teliti supaya tidak berdepan kelemahan atau mengulangi kesilapan lama.

Pakar ekonomi, Prof Dr Abu Sufian Yaacob berkata, keadaan yang sesuai untuk melaksanakan semula GST ketika inflasi rendah dan stabil, pekerjaan dan pertumbuhan gaji mampan serta pendapatan rakyat meningkat.

“Kadar lebih rendah berbanding enam peratus boleh dipertimbangkan, dan buat masa ini kemungkinan dua atau tiga peratus adalah paling tepat dan sesuai.

“Jangan seperti yang berlaku sebelum ini sebanyak enam peratus, perkara yang sangat mengejutkan semua pihak malah melebihi kadar daripada negara-negara maju,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Abu Sufian berpandangan, pelaksanaan GST perlu dikhususkan untuk barangan tertentu seperti barangan mewah sahaja.

Beliau turut mengesyorkan supaya ada pengecualian cukai ke atas barangan lain terutama membabitkan barangan keperluan asas untuk kegunaan golongan B40.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman berkata, kerajaan harus prihatin terhadap nasib rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga barangan sejak akhir-akhir ini.

“Kemerosotan ekonomi yang melanda tidak tahu sampai bila, mungkin pelaksanaan GST dapat membantu menambah pendapatan kerajaan.

“Bagaimanapun, kita mohon supaya kerajaan meneliti dan mempertimbangkan sebaik-baiknya, adakah sekarang masa yang sesuai untuk melaksanakan semula GST kerana bimbang menyebabkan pengguna lebih tertekan,” katanya.

Beliau juga menggesa supaya mewujudkan mekanisme pelaksanaan terbaik bagi memastikan pengguna tidak terkesan seperti yang berlaku sebelum ini.

“Banyak negara melaksanakan GST tetapi ia tidak membebankan rakyat mereka.

“Jika kerajaan kata GST turunkan harga barang, pastikan ia benar-benar berlaku bukan sebaliknya,” tegasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup.

Bagaimanapun, belum ada sebarang pengumuman untuk melaksanakan semula GST dalam masa terdekat, sebaliknya satu kajian dan pertimbangan termasuk kesan pelaksanaan semula sistem percukaian itu sedang dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button