Berita Utama

DBKL mula kajian kebolehlaksanaan simpanan air bawah tanah

Terowong akan simpan lebihan air daripada hujan lebat

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) akan memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan saluran simpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi sebagai sebahagian daripada pelan tebatan banjir kilat di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan JPS berhubung perkara itu tidak lama lagi.

“Jurutera kita akan terlibat dalam perbincangan. Antara aspek yang akan kita pertimbangkan ialah lokasi, saiz dan anggaran kos projek, serta skop kerja perunding yang akan menjalankan kajian (kebolehlaksanaan).

“Kami menjangkakan perunding dapat menyiapkan kajian dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik,” katanya seperti dilapor NST.

Jika diluluskan, Mahadi berkata, terowong itu akan menyimpan lebihan air daripada hujan lebat dan ia akan berfungsi sebagai salah satu komponen dalam menangani banjir kilat di bandar itu.

Terowong itu dibina 50m di bawah tanah dan terbentang kira-kira 6km, dengan gandar besar berukuran 30m diameter dan 70m tinggi.

Sementara itu, Mahadi berkata, DBKL telah mula melaksanakan 14 langkah sementara dan jangka panjangnya untuk mengurangkan kesan banjir kilat di bandar ini.

Antaranya menaik taraf scupper drain (saluran masuk air), membersihkan longkang dan sungai daripada serpihan yang boleh menghalang aliran air; dan membina tembok banjir sungai 12ml untuk menampung air yang mungkin naik ke paras luar biasa semasa kejadian cuaca ekstrem.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini berkata, DBKL akan bekerjasama dengan JPS untuk membina terowong simpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi bagi menangani banjir kilat di KL.

Beliau berkata, projek yang dicadangkan itu merupakan satu daripada penyelesaian jangka panjang yang akan mengambil masa kira-kira tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button