Berita Utama

‘Jika fasa endemik tak cetus gelombang serius, boleh PRU15’

Selepas ini tanpa sekatan, mesti parti-parti politik akan minta buat ceramah

MELAKA, 5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan cermat dan selamat berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, negara masih lagi dalam Fasa Peralihan ke Endemik dan pihaknya sedang menunggu impak fasa itu.

“Jika Fasa Peralihan ke Endemik tak mencetuskan gelombang yang serius, maka saya rasa pada waktu itu (boleh diadakan PRU15), sebab kalau kita buat Pilihan Raya Negeri (PRN) banyak kita boleh kawal.

“Tapi selepas ini tanpa apa-apa sekatan lagi, mestilah parti-parti politik akan minta buat ceramah. Dulu (ketika PRN) kita tak ada ceramah besar-besaran jadi bagi saya lebih baik kita berwaspada dan hati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dilaporkan hari ini berkata tiada lagi alasan untuk PRU15 tidak diadakan dalam masa terdekat, kerana memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang akan berakhir selepas Julai ini, selain pandemik COVID-19 juga telah berakhir.

Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan terma yang tepat berkaitan pandemik COVID-19.

“Kita masih lagi pandemik, lagipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi umum COVID-19 sebagai ‘public health emergency of international concern’, dan bila diumumkan nanti Malaysia juga akan buat pengumuman bahawa kita tak lagi akan menggunakan Akta 342 (Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Maksudnya di bawah Akta 342, saya sebagai Menteri Kesihatan masih lagi mengisytiharkan Malaysia sebagai kawasan pandemik COVID-19. Jadi tak tepat kita dah tamat pandemik,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan akan memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada kanak-kanak pada sambutan tertentu seperti sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan, 16 Jun ini setelah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dihentikan 31 Mei lepas.

“Kita akan buka kepada mereka yang dah melepasi usia lima tahun. Itu keistimewaan…mungkin ada yang tercicir, jadi kita buka balik pada sambutan-sambutan tertentu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kanak-kanak yang mencapai usia lima tahun akan menerima vaksin secara percuma sehingga 31 Januari 2023.

Beliau berkata, tempahan bagi mendapatkan suntikan vaksin tersebut boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera dan janji temu di klinik-klinik yang menyediakan perkhidmatan tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button