Berita Utama

Langgar protokol halal: Status TFI masih tergantung

Jakim akan putuskan status rumah sembelihan di Australia

BANGI,5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melakukan semakan audit sama ada meneruskan atau menggantung operasi penyembelihan yang didakwa melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan haiwan di Australia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah terdahulu yang dilakukan kerajaan adalah menggantung serta-merta kelulusan diberikan kepada loji penyembelihan, Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia dan tindakan susulan pula diambil selepas penggantungan berkenaan.

“Isu berkaitan rumah sembelihan di Australia kita akan buat secara teratur dan terancang.

“Memang kita sudah buat pengumuman untuk penggantungan. Susulannya kita akan buat audit review terhadap rumah sembelihan berkenaan sama ada akan diteruskan atau ditarik terus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Jakim terhadap badan pensijilan halal, Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selepas mengesahkan TFI melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.

Sebelum ini SICHMA tampil membuat pendedahan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia, yang membekalkan daging kambing ke negara ini melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.

SICHMA, badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan berkata, perkara itu dibuktikan selepas menjalankan audit mengejut di TFI, 28 Mei lalu.

Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video.

Terdahulu, kerajaan Malaysia menggantung serta-merta kelulusan import dari TFI sehingga siasatan menyeluruh dijalankan.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/05/28/mengejutkan-tfi-langgar-protokol-halal-dalam-proses-sembelihan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button