Ribuan pekerja di London mogok 24 jam
Bantah pengurusan tak mahu isi lebih 500 kekosongan

LONDON,5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Pengendali rangkaian pengangkutan London menggesa pengguna tidak menggunakan perkhidmatan tersebut esok berikutan mogok oleh ribuan pekerja.
Kesatuan Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) memaklumkan, semua pekerjanya akan mogok selama 24 jam – yang mana akan melumpuhkan perkhidmatan bawah tanah di seluruh ibu negara.
Mogok dilakukan berikutan pertikaian mengenai pekerjaan dan pencen.
Dilaporkan pengurusan tidak mahu mengisi 500 kekosongan pekerjaan kerana kerajaan mahu mengurangkan kos operasi selain menjadikannya lebih stabil dari segi kewangan.
Kesatuan Pekerja Pengangkutan RMT bagaimanapun berharap Datuk Bandar London menaikkan cukai bagi menampung rangkaian pengangkutan awam bandar itu.
Ketua Pegawai Operasi TfL, Andy Lord, memohon maaf kepada London kerana mogok yang akan diadakan mungkin menjejaskan jadual perjalanan mereka.
“Kami tahu ia akan merosakkan imej dan pemulihan ekonomi London daripada kesan pandemik COVID-19,” katanya.
Bagaimanapun, perkhidmatan lain seperti DLR, London Overground dan Trem, dilaporkan tidak terjejas namun dijangka berdepan keadaan sibuk yang kritikal. – Agensi