Berita Utama

Pasangan suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk

Mangsa cedera parah, disah meninggal dunia di lokasi kejadian

JASIN, 6 Zulkaedah 1443H, Isnin – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya yang bekerja sebagai operator kilang, Surayah Muhamat, 48, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu pemuda berusia 24 tahun.

Katanya, sebelum kejadian mangsa yang maut bersama penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 57 tahun dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau manakala Perodua Myvi pula dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati, operator kilang berusia 24 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Ketika kenderaan itu memasuki laluan bertentangan kedua-dua motosikal yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak dan membrek lalu bertembung,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Myvi mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala penunggang motosikal berusia 57 tahun cedera di bahagian badan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat, selain mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button