Berita Utama

29 sungai dikenal pasti tercemar tahun lepas

JAS mengambil pelbagai langkah termasuk di peringkat penguatkuasaan, perancangan dan kajian.

KUALA LUMPUR, 24 Zulkaedah 1444H, Selasa – Sejumlah 29 atau empat peratus daripada 672 batang sungai dikenal pasti tercemar tahun lepas, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata data itu berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati Indeks Kualiti Air (IKA) bagi sungai-sungai berkenaan berada dalam kategori tercemar bagi tempoh itu.

“Dalam menangani isu pencemaran sungai-sungai ini, yang berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa kimia, ladang ternakan haiwan dan perlombongan, kementerian melalui JAS telah mengambil pelbagai langkah termasuk di peringkat penguatkuasaan, perancangan dan kajian.

“Antara langkah yang dilaksanakan adalah mempertingkatkan penguatkuasaan bagi punca-punca pencemaran tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), memastikan projek-projek pembangunan berlandaskan EIA (penilaian impak alam sekitar), mengenal pasti lokasi aduan, dan operasi bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai senarai terkini sungai tercemar di Malaysia dan sejauh manakah kementerian tegas dalam menangani isu pencemaran sungai dalam negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Nazmi berkata JAS akan menjalankan pengawasan kualiti air secara berterusan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar dan terdapat 30 stesen pengawasan automatik serta 1,353 stesen pengawasan manual bagi pemantauan kualiti air sungai di seluruh negara.

“Kementerian akan meningkatkan penggunaan data dan maklumat pengawasan kualiti air sungai untuk merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan dalam memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan dan keseimbangan sistem ekologi dapat dikekalkan.

“Selain itu, kementerian juga sedang menjalankan kajian bagi memperkenalkan pendekatan baharu untuk mengawal pencemaran sungai melalui kaedah Total Maximum Daily Load (TMDL),” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button