Berita UtamaDunia

Haji: TH sedia perkhidmatan kesihatan, doktor pakar di Madinah

Disokong 7 pegawai perubatan serta 32 petugas termasuk jururawat

MADINAH, 6 Zulkaedah 1443H, IsninDemi memberi perkhidmatan terbaik dalam aspek kesihatan, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyediakan pusat rawatan dan doktor pakar untuk jemaah haji Malaysia agar lebih mudah serta teratur.

Pengarah Operasi Makkah (Perubatan) Dr Abdul Marsudi Manah berkata, selain itu, petugas kesihatan awam akan melakukan rondaan dari bilik ke bilik untuk memberi penjelasan mengenai kepentingan penjagaan asas kesihatan.

“TH telah membuat persediaan dengan menubuhkan Pusat Rawatan Kesihatan di Madinah iaitu di bangunan Roha Al Madinah, yang mempunyai 37 buah katil dengan kekuatan 44 anggota iaitu lima terdiri daripada tiga pakar perubatan dalam bidang dalaman, bius dan awam.

“Pusat rawatan ini juga disokong oleh tujuh pegawai perubatan serta 32 petugas lagi termasuk jururawat,” katanya kepada pemberita di Bangunan Roha Al Madinah.

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan klinik bergerak di bangunan penginapan jemaah iaitu Hotel Anwar Al Madinah Moveinpick dan Hotel Saja Al Madinah serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz.

Dr Abdul Marsudi, yang merupakan pakar perubatan kesihatan awam di Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat, berkata, aktiviti rondaan dari bilik ke bilik bukan sahaja membabitkan kesihatan asas tetapi juga memberi ruang kepada petugas menasihati jemaah mengenai kaedah berdepan cuaca panas.

“Dari segi masalah kesihatan sepanjang musim haji ini, dengan keadaan suhu melebihi 46 darjah Celsius berkemungkinan berlaku dehidrasi.

“Sebab itu jemaah perlu minum air secukupnya dan mengelak berada di luar pada waktu siang.  Hanya jika berada dalam keadaan tertentu dan perlu berada di luar pada waktu siang… kita galakkan mereka berada di tempat yang teduh atau menggunakan payung,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jemaah haji supaya segera mendapatkan rawatan awal dan bukan menunggu di saat akhir iaitu setelah keadaan tubuh badan semakin lemah.

Katanya jemaah haji juga disaran agar peka dengan keadaan sekeliling yang sesak, berdebu serta kering yang mampu menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti batuk dan ia tidak boleh dianggap perkara biasa kerana lama-kelamaan mampu membawa kepada jangkitan paru-paru. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button