Uncategorized

Kerajaan perlu diberi peluang tadbir negara sehingga habis penggal

Jangan terlalu kerap pilihan raya, PRN sudah berapa kali diadakan: Presiden PAS

BANGI, 6 Zulkaedah 1443H, Isnin – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa supaya kerajaan diberikan peluang untuk mentadbir negara sehingga habis penggal.

Beliau berkata, tempoh selepas habis penggal tersebut adalah waktu tepat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Cadangan kita perlambatkan kerana masalah rakyat banyak belum selesai lagi.

“Jangan kerap sangat pilihan raya, pilihan raya negeri (PRN) sudah beberapa kali,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan PRU15 wajar ditangguhkan beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik ketika ini berjaya membuktikan tiada gelombang baharu yang serius.

Khairy berkata, banyak faktor perlu diteliti selain gesaan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat ini juga bukan desakan rakyat, sebaliknya lebih kepada desakan parti politik.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau langsung tidak mengetahui mengenai pertemuan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pembangkang bagi membincangkan mengenai mahu kembali menjawat Perdana Menteri semula.

“Maklumatnya tidak ada. Biasanya dia maklum,” ujarnya.

Sebelum ini Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa, Muhyiddin menghubunginya untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri semula.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button